|
Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia
Marilah kita sama-sama mengucap syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan kekuatan mental dan kekuatan fizikal serta kesihatan yang baik kita dapat melaksanakan tugas-tugas dan menjalankan aktiviti-aktiviti kepanduan sepanjang tahun lepas dengan berjaya. Tahun 2009 merakamkan dua peristiwa bersejarah yang sedih dan gembira. Peristiwa sedih ialah Persatuan Pandu Puteri Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada Mantan Yang Di Pertua, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Y.A.Bhg. Tun Jeanne Abdullah di Majlis Perpisahan "Jasa Mu Di Kenang" pada 20 Jun 2009 di Wisma Pandu Puteri, Kuala Lumpur. Kehadiran, sumbangan dan kemesraan Y.A.Bhg. Tun Jeanne Abdullah akan tercatit dalam sejarah Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Peristiwa yang mengembirakan ialah Persatuan Pandu Puteri Malaysia meraikan Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang baru di majlis yang bertemakan "Yang Di Pertua Bersama Ahli-Ahli Remaja PPPM" pada 7 November 2009 di Wisma Pandu Puteri, Kuala Lumpur. Di majlis yang sama, Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut melancarkan Logo SATU Malaysia Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Ini membuktikan bahawa Persatuan Pandu Puteri Malaysia memang mendokong konsep SATU Malaysia yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, yang kita sayangi. Konsep SATU Malaysia ini memang jelas kelihatan di kalangan ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Sejak dahulu lagi, ahli-ahli PPPM yang berbilang kaum bergaul dengan penuh kemesraan dan harmoni demi kepentingan perpaduan negara. Tahun 2009 juga menyaksikan acara-acara Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Antaranya ialah Hari Peringatan Sedunia 2009 yang bertemakan "Kita Boleh Mencegah AIDS, Malaria Dan Penyakit Lain Daripada Berleluasa" pada 22 Februari, Projek Kesedaran HIV/AIDS pada 21 – 23 Mac, Persidangan Pesuruhjaya Dan Mesyuarat Agung Tahunan 2008/2009 PPPM pada 1 - 5 Jun di Kuala Terengganu, Pertandingan Pengucapan Awam 2009 pada 25 Julai, Lawatan Cik Gillian Wilcox dari WAGGGS dan Encik Eduerdo Martinez dari UPS, USA ke Wisma Pandu Puteri pada 14 – 17 Julai, Lawatan 80 orang deligasi dari International Scouts And Guides Fellowship (ISGF) ke Wisma Pandu Puteri pada 19 Julai, Perkhemahan Pandu Puteri Siswi pada 16 – 18 Oktober, Sambutan Hari Warga Emas di Wisma Pandu Puteri pada 24 Oktober, Kursus Peningkatan Keahlian 2009 pada 30 Oktober – 1 November, Mesyuarat Dan Bengkel Pandu Puteri Tunas 2009 pada 4 – 6 Disember, Girls Summit 2009 pada 13 – 15 Disember, dan Lawatan Pandu Puteri Sekolah Menengah Seng Kang, Singapura ke Wisma Pandu Puteri pada 16 Disember. Tahun 2010 adalah tahun Pandu Puteri Tunas Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Kita akan menghadapi tahun yang sibuk dan mencabar. Selain mengadakan program-program seperti kursus, mesyuarat dan bengkel, Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada acara antarabangsa, Cabaran Pandu Puteri Tunas Antarabangsa 2010 atau "International Brownie Challenges – Malaysia 2010". Persatuan Pandu Puteri Malaysia Kebangsaan juga akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Persuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan 2010 Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Persediaan untuk dua acara ini telah pun bermula. Persatuan Pandu Puteri Malaysia juga akan mengelolakan Majlis "Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2010" dengan bertemakan "Together We Can End Extreme Poverty And Hunger" atau "Membasmi Kemiskinan Dan Kelaparan" dan Kursus Yang Di Pertua Cawangan. Tahun 2009 telah berlalu dan pasti saya akan terus melangkah ke tahun 2010. Selama satu tahun setengah saya memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya dan pastinya juga saya mempunyai pengalaman pahit manis selama ini. Ingatan semasa perlantikan saya di Johor pada bulan Jun 2008, saya bercita-cita menjadikan PPPM salah satu Persatuan terkenal dan terbaik di negara ini. Berdasarkan kepada apa yang kita telah ada pada ketika ini, saya rasa untuk menjadikan PPPM terkenal dan terbaik di negara ini tidaklah merupakan tugas yang sangat berat. Kedudukan, bangunan Ibu Pejabat dan kemudahan-kemudahan yang kita ada, kita setanding dengan Persatuan atau NGO di negara ini dan luar negara. Saya percaya masih banyak ruang-ruang penambahbaikan yang boleh dibuat. Semua ahli PPPM juga perlu bersama menyumbang dalam berbagai bentuk untuk menjadikan PPPM terkenal dan terbaik di negara ini. Kita perlu meneliti apa yang sedang dan telah kita lakukan, apa yang telah kita katakan dan sejauh manakah ianya dikotakan. Kita juga bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan tetapi kesyukuran bukan hanya atas konotasi kejayaan dan pencapaian malah perlu disebatikan dengan rasa kepuasan, mahu berubah lantas sentiasa memperbaiki kekurangan. Sebagai pemimpin dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia, seharusnya jangan dicemari dengan gejala-gejala buruk yang akan merosakkan kepercayaan masyarakat kepada kita. Sedarilah bahawa pada bahu kita disandarkan harapan maha besar para ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka menjadi ahli Pandu Puteri yang berjaya, berdisiplin dan cemerlang. Biarlah curahan tenaga dan sumbangan bakti setiap daripada kita didorongi dengan rasa keinginan untuk berbakti kepada anak-anak Pandu Puteri dan Persatuan. Ini dilakukan dengan tulus dan telus. Harapan saya kepada semua ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, Persatuan, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan SATU Malaysia. Sekian, terima kasih. "Berkhidmat Untuk Negara Melalui Kepanduan" DATIN HAJJAH ZALILLAH BTE MOHD TAIB 1 Januari 2010
|