Latar Belakang PPPM

Pandu Puteri bermula di Kuala Lumpur pada tahun 1916 dan pada tahun 1917 Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah didaftarkan dengan Ibu Pejabat Pandu Puteri di Calcutta, India. Pusat pentadbiran Persatuan Pandu Puteri Malaysia ialah di Singapura sehingga tahun 1956. Mulai tahun 1957, Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertapak di Wisma Pandu Puteri, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Semenjak tahun 1928 Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah menerima pengiktirafan dan sokongan daripada kerajaan Malaysia. Ordinan Pandu Puteri 1953 telah digantikan oleh Akta Pandu Puteri 1953. Akta ini telah disemak pada tahun 1991.
Persatuan Pandu Puteri Malaysia mempunyai komitmen
melahirkan golongan remaja wanita dan wanita dewasa yang
berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai
kepanduan demi kepentingan nusa, bangsa dan masyarakat
sejagat.
Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertujuan menjadi sebuah
organisasi yang dinamik dan efektif untuk remaja dan wanita
dewasa. Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menonjolkan
imej yang selari dengan program berkualiti yang menyediakan
remaja dan wanita dewasa hari ini untuk menjadi pemimpin
berwibawa hari esok.
Persatuan Pandu Puteri Malaysia menyediakan program
kepanduan yang bercorak pendidikan bukan formal. Pelaksanaan
program bukan formal ini mementingkan perkaedahan yang
fleksibel, ceria dan aktif untuk memenuhi kehendak dan
keperluan remaja wanita dan wanita dewasa Malaysia.
Matlamat PENDIDIKAN BUKAN FORMAL yang berkualiti ialah
“Jerih, Rapi, Kaitan dan Hubungan”. Persatuan Pandu Puteri
Malaysia mempunyai matlamat untuk memantapkan tahap
kejerihan dan kerapian dalam program dan aktiviti,
menjadikan program dan aktiviti kepanduan relevan kepada
kehidupan seharian ahli Pandu Puteri dan boleh digunakan
untuk manfaatnya pada masa hadapan, serta memupuk
perhubungan baik antara Pandu Puteri, dewasa dan remaja.
Untuk mencapai tujuan murni ini, didikan dan latihan untuk
ahli adalah melalui PROGRAM KEPANDUAN yang mengutamakan
sistem kumpulan (Patrol System) yang menjadi ciri utama
pergerakan kepanduan seluruh dunia.
PROGRAM KEPANDUAN yang digubal untuk ahli adalah berdasarkan
Undang-undang Pandu Puteri yang bertujuan supaya seseorang
ahli :
- Boleh dipercayai
- Sentiasa taat dan setia
- Suka menolong orang lain
- Bersabar dengan semua orang dan Pandu Puteri yang lain
- Sentiasa bersopan santun
- Sentiasa melindungi haiwan dan memelihara alam sekitar
- Sentiasa menurut perintah
- Bersemangat dan bergembira walaupun dalam kesulitan
- Sentiasa berjimat cermat
- Suci dalam fikiran, perkataan dan perbuatan.
Asas program kepanduan terdiri daripada empat komponen iaitu
perkembangan diri, sahsiah dan intelek; minat dan hobi; gaya
hidup sihat; dan khidmat. Program kepanduan juga menekankan
empat elemen utama iaitu perkembangan jasmani, emosi,
kerohanian dan kognitif.
Untuk mencapai tujuan murni ini, didikan dan latihan untuk
ahli adalah melalui PROGRAM KEPANDUAN yang mengutamakan
sistem kumpulan (Patrol System) yang menjadi ciri utama
pergerakan kepanduan seluruh dunia.
PROGRAM KEPANDUAN
juga memenuhi minat dan kebolehan semua
peringkat ahli melalui sistem latihan dan skim Lencana
Kecekapan. Seseorang ahli muda digalakkan berusaha supaya
berjaya menjadi seorang PANDU PUTERI RAJA, manakala Pemimpin
digalakkan untuk mendapat MUTIARA PEMIMPIN.
RANCANGAN KEPANDUAN yang bersesuaian disediakan di semua
peringkat – pasukan, daerah, negeri dan kebangsaan.
- Perancangan jangka panjang disediakan di peringkat
kebangsaan oleh Lembaga Eksekutif Kebangsaan dengan
kerjasama Jawatankuasa Kerja Kebangsaan
- Perancangan jangka pendek dan strategi pelaksanaan
disediakan di peringkat negeri oleh Pesuruhjaya Cawangan dan
Pesuruhjaya Bahagian di cawangan serta Pemimpin
- Pemimpin dan ahli muda melaksanakan rancangan jangka
pendek di dalam Pasukan
- Pesuruhjaya Cawangan bermesyuarat dengan Pemimpin sekali
sebulan atau dua bulan sekali
- Pesuruhjaya menghadiri Persidangan Tahunan Pesuruhjaya
Persatuan Pandu Puteri Malaysia hari ini mempunyai 85,000
orang ahli dan sukarelawan di seluruh Malaysia.
Di peringkat kebangsaan, Persatuan Pandu Puteri Malaysia
merupakan ahli gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan
Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).
Di peringkat antarabangsa pula, Persatuan Pandu Puteri
Malaysia adalah ahli penuh Persatuan Pandu Puteri dan
Pengakap Puteri Sedunia (World Association of Girl Guides
and Girl Scouts – WAGGGS).
Persatuan Pandu Puteri Malaysia juga merupakan Badan Operasi
Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM). Anugerah Remaja
Perdana Rakan Muda (ARPRM) adalah edisi tempatan untuk
Anugerah “Duke of Edinburgh’s Award” atau kini dikenali
sebagai “International Award Association”.
|